"Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) ALLAH (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya" surah An-Nisa' :59

Thursday, June 9, 2011

FIQH AULAWIYAAT


Fiqh awlawiyat bermaksud, seni dalam mendahulukan mana yang lebih utama berbanding dengan sesuatu yang kurang utama atau tidak utama. Ianya juga membawa maksud mendahulukan sesuatu perkara yang penting berbanding perkara-perkara yang kurang penting dan tidak penting langsung.

          Ketiadaan seni seumpama ini akan menjadikan seseorang muslim dan pendakwah akan menghabiskan masa dengan sesuatu yang kurang penting atau tidak penting dan meninggalkan perkara yang lebih penting. Ia juga akan membawa kepada penghabisan tenaga dan usaha dengan melakukan sesuatu yang tidak berfaedah atau kurang faedah  dan meninggalkan perkara yang lebih berfaedah. Lebih dasyat lagi , ketiadaan fiqh awlawiyat akan membawa kepada pembaziran waktu dengan perkara-perkara yang mempunyai impak yang kecil ataupun tiada impak serta meninggalkan impak yang lebih kepada Islam ataupun masyarakat.

          Contoh bagi fiqh awlawiyat  ini boleh didapati dalam sirah Rasulullah s.a.w., sebagai contoh :
Rasulullah s.a.w. memulakan pengukuhan aqidah dahulu di Makkah dan tidak memulakan dakwah dengan menghancurkan patung-patung berhala.
Mendahulukan hukum –hakam berkaitan aqidah dan pembentukan jiwa di Makkah sebelum memberikan pertanggungjawaban dari segi hukum- hakam amali.

               Fiqh Awlawiyaat juga menekankan konsep mendahulukan yang usul berbanding perkara-perkara furuk,mendahulukan yang wajib dari yang sunat,mendahulukan nas-nas yang qat’ie berbanding yang zanni, mendahulukan amalan-amalan jama’iyy berbanding yang fardi,mendahulukan pengajian usul Islam seperti aqidah,ibadah fardu,pemahaman Al-Quran dan hadis sebelum menimba ilmu-ilmu lain.

             Di dalam ibadat pula,Dr. Yusuf Al-Qaradawi telah mencedok idea-idea Imam Al-Ghazali berkaitan keperluan mengetahui tingkatan-tingkatan keutamaan amal ibadat. Beliau juga mencedok perbincangan Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah mengenai kepentingan dan keutamaan sesuatu amalan berdasarkan situasi , keadaan dan tempat. Contohnya jihad menjadi amalan utama di dalam Negara Muslim yang diserang kafir. Menuntut ilmu adalah paling utama dikala para ulama semakin berkurangan dan lain-lain lagi.

Antara keutamaan yang dikemukakan Al- Qaradawi adalah :
  • ·         Kualiti berbanding kuantiti
  • ·         Ilmu ke atas amal
  • ·         Maqasid ke atas zahir
  • ·         Ijtihad dari taklid semata-mata
  • ·         Menumpukan pada perkara yang dipersetujui dari perkara yang diperselisihkan
  • ·         Memudahkan  dan menyenangkan berbanding menyusahkan dan membebankan         (fatwa,ijtihad dan dakwah)
  • ·         Mengislah diri sebelum islah kerajaan dan system
  • ·         Tarbiyyah sebelum berjihad
  • ·         Mendepani musuh Islam berbanding mendepani perselisihan antara umat Islam
  • ·         Memerangi mungkar berbanding perkara furuk dan remeh
Dr. Yusuf Al- Qaradawi melihat bahawa kehilangan fiqh awlawiyaat dalam persada gerakan Islam akan membawa kepada kepincangan dalam gerak kerja dakwah dan islah. Fiqh Awlawiyaat menurut Al-Qaradawi juga menuntut agar para pendakwah bersatu, mencari persamaan berbanding perbezaan, berlapang dada dengan perbezaan dan mengenali musuh mereka. Perbezaan pendapat di kalangan pejuang Islam bukanlah alasan untuk mereka tidak bersatu. 

             Dr. Yusuf Al- Qaradawi juga menegur sikap sesetengah umat Islam yang terlalu mementingkan perkara-perkara sunat tetapi meninggalkan perkara-perkara yang wajib. Beliau mengambil contoh betapa ada di antara umat Islam yang menghabiskan wang mereka menunaikan haji dan umrah sunat dan tidak menginfaqkan harta mereka untuk jalan dakwah , propaganda Islam,sekolah-sekolah Islam dan lain-lain tujuan yang besar manfaatnya buat umat Islam.Beliau juga menegur sikap sesetengah golongan yang amat menitik beratkan persoalan sunat dan adab tetapi  di dalam waktu yang sama meninggalkan persoalan yang lebih besar seperti membina kekuatan umat Islam, cemerlang dalam pelajaran dan kerjaya demi memartabatkan umat Islam. 

~sumber ‘Majalah I’ November 2007~

No comments:

Post a Comment