"Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) ALLAH (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya" surah An-Nisa' :59

Monday, June 13, 2011

15 ilmu yang harus dikuasai oleh seorang pentafsir Al- Quran


Sebahagian ulama berkata “Para manusia berbeza pendapat  tentang penafsiran Al-Quran, bolehkah setiap orang berbicara tentangnya?” Ada kelompok kaum berkata “Tidak diperbolehkan bagi setiap orang menafsirkan  sesuatupun dari Al- Quran,walaupun dia memiliki ilmu , ahli sastera dan faqih dalam dalil-dalil,fiqh ,nahu, sejarah, dan riwayat. Dia tidak memiliki hak kecuali sejauh apa yang diriwayatkan dari Nabi Muhammad s.a.w. tentang hal itu.” Di antara mereka juga ada yang berkata : “Harus menafsirkan Al-Quran bagi orang yang padanya terkumpul  15 ilmu iaitu :

1.       Ilmu Lughah: ilmu bahasa kerana dengan ilmu inilah diketahui penjelasan kosa kata dan makna –maknanya. Mujahid berkata “Tidak halal bagi seseorang yang beriman pada Allah dan hari akhirat untuk berbicara tentang kitab Allah kecuali jika dia adalah orang yang memiliki ilmu tentang Bahasa Arab,” dan Imam Malik juga menyebutnya.Tidak cukup baginya mengetahui hanya sebahagian kecil dari ilmu ini, kerana kadang-kadang sebuah kata itu termasuk dalam kategori mushtarak , sedangkan dia hanya mengetahui salah satu maknanya  dan tidak mengetahui makna lainnya.

2.       Ilmu Nahu : ilmu ini perlu diketahui kerana makna akan berubah mengikut perubahan I’rab. Maka ilmu ini harus dipelajari.

3.       Ilmu Sorof : dengan ilmu ini kita mengetahui wazan-wazannya. Az Zamahsyari berkata :  “Contoh tafsir-tafsir yang baru adalah pendapat  orang yang mengatakan bahawa makna kata: الامام pada firman Allah S.W.T : : : يوم ندعوا كل اناس بامامهم   ([Ingatlah] suatu yang di hari itu, Kami panggil tiap ummat dengan pemimpinnya) ayat 71 surah Al- Isra’, adalah bentuk jamak dari kata  أم  dan bahawa pada hari kiamat nanti, manusia akan dipanggil dengan ibu-ibu mereka, bukan dengan bapak-bapak mereka. Ini adalah kesalahan yang disebabkan oleh ketidak tahuannya dalam bidang sorof kerana sesungguhnya kata : أمtidak dijamakkan dengan kata امام.

4.       Ilmu Istiqaq (bentuk asal kata) , kerana suatu kata itu berasal dari kata akar yang berbeza  maka akan berbeza pula maknanya, seperti kata : المسيح misalnya, adakah kata asalnya :السياحة(perjalanan di muka bumi) atau dari kata : المسح (menghapus)

5.       Ilmu Ma’ani  iaitu dengan mengetahui ciri-ciri khas susunan-susunan perkataan dari aspek penyampaian maknanya

6.       Ilmu Bayan iaitu mengetahui cirri-ciri khas dari sudut perbezaan-perbezaan yang dilihat  dari aspek kekuatan dan kesamaran petunjuknya.    
     
7.       Ilmu Badi’ iaitu dari sudut memperindahkan sesuatu perbicaraan dan ilmu ini dekenali juga ilmu balaghah.Ilmu ke 5,6,7 ini adalah ilmu –ilmu yang paling berpengaruh yang harus dipelajari oleh seorang pentafsir Al-Quran kerana para pentafsir perlu memperhatikan aspek kemukjizatan Al-Quran. Kemukjizatan itu diketahui melalui ilmu ini.
Az-Zahmahsyari berkata : “Di antara kewajipan seorang yang mentafsirkan Kitab Allah yang sangat indah dan kalamNya yang merupakan  mukjizat adalah menjaga susunannya sesuai dengan keindahannya , dan balaghahnya sesuai dengan kesempurnaannya  serta tentangan yang ada padanya dalam keadaan bebas dari semua sifat tercela.” 

8.       Ilmu Qiraat iaitu ilmu untuk mengetahui bagaimana cara membaca Al-Quran . Dengan qiraat dapat menetahui makna yang paling kuat yang mungkin terkandung dalam sesuatu ayat.

9.       Ilmu Usuluddin iaitu ilmu yang berkaitan dengan ayat-ayat Al-Quran yang zahirnya menjelaskan apa yang tidak layak bagi Allah s.w.t , maka seseorang yang ahli dalam bidang ini selalu merujuk hal ini dan dia menjadikannya sebagai dalil bagi hal-hal yang mustahil, hal-hal yang wajib dan hal-hal yang boleh.

10.   Ilmu Usul Fiqh iaitu untuk mengetahui metode pengambilan dalil dan ijtihad terhadap sesuatu hukum.

11.   Ilmu Asbabul Nuzul  dan kisah-kisah iaitu mengetahui  sebab turunnya ayat, maka ketahuilah makna ayat ini sesuai dengan keadaan yang merangkumi turunnya ayat.

12.   Ilmu nasakh dan mansukh iaitu mengetahui ayat muhkam (ayat  tidak dinasakhkan) dan yang lainnya.

13.   Ilmu Fiqh iaitu mengetahui  pegangan dan pandangan mazhab-mazhab.

14.   Ilmu Hadis iaitu mengetahui  hadis-hadis yang menjelaskan penafsiran ayat yang mujmal (jelas) dan mubham (samar) .

15.   Ilmu Al-Muhibah(pemberian) iaitu ilmu yang diberikan Allah kepada orang yang mengamalkan apa yang dia ketahui. Inilah yang yang disyaratkan oleh sebuah hadis : “Sesiapa yang melaksanakan apa yang dia ketahui , maka Allah akan memberikan kepadanya ilmu-ilmu yang belum dia ketahui,”

Az Zarkasyi berkata di dalam Al-Burhan : “Ketahuilah bahawa seseorang yang mengkaji mana-mana wahyu itu tidak mungkin mengetahuinya dan  tidak mungkin tersingkap rahsia-rahsianya kepada dirinya jika di dalam hatinya bersarang bid’ah, kesombongan, hawa nafsu atau kecintaan terhadap dunia atau dia sentiasa melakukan perbuatan dosa atau tidak sempurna imannya atau lemah praktiknya atau berpandukan  kepada pendapat seorang ahli tafsir yang tidak dia ketahui atau berpandukan otaknya. Semua ini adalah penghalang , di mana sebahagiannya lebih kuat daripada yang lainnya,” 

Rujukan : Al-Itqan Ulum Quran Imam Jalaluddin As-Suyuti
               Terjemahan Samudera Ulum Quran
               Mukhtasar Syeikh Hussien Al-Ashry

No comments:

Post a Comment